Monday, June 1, 2009

novel





Sinopsis : MOGA KAU MENGERTI
NOVEL beliau bertajuk 'Moga Kau Mengerti' kini boleh didapati di kedai-kedai buku sekarang. Anda pasti teruja membacanya.

Perpisahan membuatkan Adeena Adalia sengsara menanggung rindu. Semakin disisih wajah dan nama Kamali dari ingatan, semakin memanggil-manggil kerinduan di jiwa. Sepuluh tahun berlalu, dia tidak pernah berputus asa menanti agar dipertemukan de-ngan lelaki itu.

Melayari lautan kehidupan yang sesekali bergelora mempertemukannya dengan Dr. Adib yang nyata kasihnya sebening air dari pergunungan. Dia cuba memujuk diri menerima huluran cinta itu. Namun, setiap ceruk hatinya hanya menyebut nama Kamali.

Kehadiran e-mel daripada Wani membuka jalan untuk Adeena menghubungi Kamali semula. Biarpun di persimpangan yang amat mengelirukan, hatinya memilih jejaka yang dikenali sejak di bangku sekolah. Sihir cinta yang dirasai amat luar biasa. Tetapi syurga yang dicari bersama Kamali rupa-rupanya neraka yang tiada penghujung.

Adeena masih tidak berhenti berdoa, masih mengharap agar Kamali mengerti. Cinta bukan untuk dipersenda. Namun, bercahayakah cinta di hati setelah dihancurluluhkan?





Sinopsis : NOTA CINTA BUATMU Perpisahan... terlalu sukar rasanya membuat keputusan. Namun kerana harga diri, kerana kasih sayang, Johanna rela berkorban. Biarlah dirawat hati yang luka, biarlah dilalui hari-hari mendatang tanpa suami di sisi. Pergilah Dihrran, carilah kebahagiaan, carilah kasih sayang yang kau perlukan.

Hidup siapa yang menduga, Johanna dipertemukan dengan Graham. Lelaki yang tidak percaya kewujudan agama dan Tuhan. Namun, lelaki itu lelaki istimewa, lelaki yang sering mengerti, lelaki yang paling cepat memahami. Hati yang luka diubati, jiwa yang kosong kini terisi.

Kalutnya rasa bila cinta datang kali kedua, perlukah diusir atau perlukah dibiarkan menghuni dalam hati. Cuma ketika cinta datang semula, Dihrran yang pernah membuangnya dahulu datang menagih hati, menagih simpati!

Hatinya sudah nekad, apa yang berlaku, biarlah berlalu. Dihrran perlu diajar untuk menghargai, untuk menghormati. Dia bukan wanita yang mudah dibuang dan diambil kembali.

Ahh... cerita luka... duka dan cinta ini perlu ada kesudahannya!



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...